20 JUN - MANIFESTASI PELARIAN
Hari Pelarian Sedunia dengan objektif untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat terhadap nasib dan masa depan golongan pelarian di seluruh dunia telah diraikan secara global sejak tahun 2000.
"Real People, Real Needs" Rakyat Sebenar, Keperluan Sebenar, tema yang dipilih untuk mengenang nasib pelarian pada tahun ini - pelarian adalah golongan yang berkeperluan sama seperti anda dan saya. Dengan angka lebih 42 juta pelarian di bawah kanta dan radar tanggungjawab Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), kekurangan keperluan asas dalam hidup – air bersih, makanan, sanitasi, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan perlindungan dari keganasan dan penderaan memaksa mereka sentiasa bergelut untuk terus hidup secara bermaruah di bumi ini.
Di Malaysia sahaja, mengikut statistik UNHCR setakat 31 Disember 2007, jumlah pelarian berdaftar ialah 164,400 yang mencakupi pelbagai kategori termasuk yang mengharapkan suaka politik. Pelarian Filipina yang kebanyakannya menghuni di perairan Sabah berjumlah hampir 70 ribu, pelarian Myanmar juga berjumlah hampir 70 ribu diikuti Indonesi yang berjumlah lebih 21 ribu orang.
Warga dunia menjadi pelarian melalui pelbagai konflik dalaman dan perang saudara dan perang sesama negara.
Malaysia pernah menjadi rumah kepada lebih ramai pelarian malah pelarian Vietnam pernah ditempatkan di Pulau Bidung, juga di penempatan berhampiran tol Sungai Besi lebih dua dekad yang lalu. Namun begitu penarafan oleh Jawatankuasa Bagi Pelarian dan Pendatang Amerika Syarikat (USCRI) pada tahun 2008 meletakkan Gred F bersama-sama Thailand, Bangladesh dan China kerana pelarian yang ditahan berkemungkinan dihadapkan ke mahkamah!
Apakah peningkatan statistik pelarian saban tahun, nilai kemanusian warga dunia semakin menipis seperti lapisan ozon?
Ulasan